KUCHING: Upacara sembahyang bersama Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) bertemakan ‘Kasih yang Mengubah Hidup’ yang berlangsung di Christian Ecumenical Worship Centre di sini, malam tadi telah menyatukan lebih 2,000 peserta.
Kehadiran peserta termasuk pemimpin agama lain dari kalangan Buddha, Hindu, Sikh, dan Bahai ini dilihat sebagai simbol keharmonian antara komuniti pelbagai agama di Sarawak.
Bishop Datuk Danald yang mengetuai acara ini, menekankan bahawa perayaan Krismas membawa mesej kasih, harapan, dan perpaduan, yang bukan sahaja untuk komuniti Kristian tetapi juga untuk seluruh masyarakat.
Perayaan Krismas, tegas beliau seperti pada sidang media yang lepas, lebih daripada sekadar tradisi.
“Perayaan ini, sebaliknya adalah peringatan kasih Tuhan yang merangkumi seluruh umat manusia,” ujarnya.
Mengulas lanjut upacara tersebut, pelbagai acara diadakan termasuk bacaan kitab suci dalam pelbagai bahasa, persembahan muzik dan koir serta khutbah oleh Presiden Gereja Methodist SCAC, Rev. Dr. Lau Hui Ming.
Turut hadir pada acara ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Ir. Lo Khere Chiang, Arcbishop Simon Poh serta penganut-penganut daripada pelbagai Persatuan Gereja-Gereja di Kuching.