
Pemain Tottenham, James Maddison (kiri) mengatasi penjaga gol Manchester United, Andre Onana bagi gol tunggal kemenangan aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London. – Foto AFP
LONDON: Tottenham memenangi pertarungan antara dua pasukan yang beraksi di bawah tahap sebenar Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang 1-0 awal pagi tadi untuk mencetus satu lagi keputusan buruk buat bos Manchester United, Ruben Amorim.
James Maddison menyumbat gol tunggal pada minit ke-13 ketika Spurs melonjak mengatasi United dalam carta ke tangga ke-12 susulan kemenangan ketiga ke atas Red Devils musim ini.
Kemenangan itu mengendurkan sedikit tekanan buat bos Tottenham, Ange Postecoglou selepas tersingkir daripada kedua-dua pertandingan piala domestik bulan ini selain kedudukan buruk dalam liga.
United kini mendapati mereka tersungkur ke tangga ke-15, namun menikmati kelebihan 12 mata berbanding tiga kelab tercorot.
Kemenangan pertama Tottenham dalam liga di halaman sendiri sejak November lalu hadir selepas semangat memberontak dalam kalangan penyokong mereka.
Sebelum sepak mula penyokong Spurs sekali lagi memperagakan kekecewaan mereka terhadap pemilik ENIC dan pengerusi Daniel Levy.
Satu kain rentang besar dengan perkataan “24 tahun, 16 pengurus, 1 trofi – Masa untuk berubah” ketika kontinjen besar penonton tuan rumah menyertai bantahan meminta Levy meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, mood buat Postecoglou melonjak sebelum sepak mula ketika beliau menyambut kepulangan semula beberapa pemain tonggak utama yang diketepikan kerana kecederaan.
Penjaga gol Guglielmo Vicario melakukan penampilan pertamanya sejak November di samping Maddison dalam kesebelasan utama, manakala Destiny Udogie, Brennan Johnson dan Wilson Odobert berada di bangku simpanan.
Amorim terpaksa menamakan lapan pemain remaja dalam kalangan sembilan pemain gantiannya, memaksa Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee bermula bersama di bahagian serangan selepas kedua-duanya diketepikan daripada aksi terakhir United dalam liga, kekalahan 2-0 di tangan Crystal Palace.
Hojlund meraih peluang pertama apabila dia merembat tepat ke arah Vicario sebelum penjaga gol dari Itali itu melayangkan badannya ke sebelah kiri untuk menafikan Alejandro Garnacho.
Sebaliknya Spurs mendapat gol pembukaan apabila penjaga gol pelawat Andre Onana hanya mampu menumbuk percubaan Lucas Bergvall ke kaki Maddison, yang menampan masuk ke pintu gol yang ternganga bagi gol ke-10 buatnya musim ini. – AFP