Ular tedung menyelinap dalam tandas rumah

Facebook
WhatsApp
TANGKAP...Pasukan bomba berusaha menangkap ular tedung selar yang ditemui dalam tandas di sebuah kediaman di Sofionne Villa, Jalan Riverview di Miri.

MIRI: Ular tedung selar sepanjang dua meter ditemui dalam tandas di sebuah kediaman di Sofionne Villa, Jalan Riverview di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan ular berbisa itu pada 5.30  petang.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian , didapati seekor ular tedung berukuran lebih kurang  tujuh kaki panjang berada di dalam tandas rumah pelapor.

“PKO bertindak menangkap ular tersebut dengan menggunakan penjerut,” katanya.

Henry berkata, usaha menangkap ular itu mengambil masa tujuh  minit dan operasi  tamat sepenuhnya 5.42 petang.

“Ular itu kemudiannya dilepaskan semula ke habitat asalnya yang berada jauh dari penempatan penduduk,” katanya.