Ular sawa sepanjang satu meter ditangkap bawah longgokan kayu

Facebook
WhatsApp
SEEKOR ular sawa sepanjang satu meter berjaya ditangkap anggota APM Spaoh yang ditemui bersembunyi di bawah longgokan kayu di Kampung Tengah Bungin, malam tadi. Foto APM Spaoh

SPAOH: Seekor ular sawa sepanjang satu meter berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Spaoh selepas reptilia itu ditemui bersembunyi di bawah longgokan kayu di tepi sebuah rumah di Kampung Tengah Bungin, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.14 malam yang memaklumkan kelibat ular dilihat berhampiran rumah seorang penduduk.

Katanya, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh kemudian menggerakkan empat anggota ke lokasi pada 9.17 malam bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.

“Pasukan tiba di lokasi pada 9.25 malam sebelum melakukan pencarian di kawasan yang menjadi lokasi terakhir ular itu dilihat oleh pengadu,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil pemeriksaan, anggota menemukan seekor ular sawa sepanjang satu meter yang berada di bawah longgokan kayu di tepi rumah pengadu.

Menurutnya, anggota bertindak berhati-hati bagi memastikan proses menangkap ular berkenaan dapat dilakukan dengan selamat tanpa membahayakan penduduk sekitar.

“Ular tersebut berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit sebelum dimasukkan ke dalam kotak khas haiwan berbisa untuk dibawa ke PKOD bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi yang melibatkan anggota Prebet Mohamad Fidaus Lihi, Prebet Mohd Shahrul Nasir, Prebet Amirul Johan dan Prebet Mohd Sabrie Eddie itu selesai pada 9.37 malam.

Operasi berkenaan turut menggunakan sebuah kenderaan persendirian selain dilengkapi peralatan keselamatan termasuk tiga topi keledar, dua penyepit ular, satu penjerut dan sebuah kotak haiwan berbisa.

Oleh Adi Safarman