DEBAK: Kemunculan seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.2 meter dalam sebuah kandang kambing mengejutkan penduduk Kampung Babu, di sini, pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.15 pagi memaklumkan kewujudan reptilia berkenaan di dalam kandang kambing.
Menurutnya, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Debak kemudian dikerahkan ke lokasi pada 10.17 pagi dan tiba kira-kira tiga minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, anggota terus melakukan pemeriksaan sebelum mendapati ular sawa batik berkenaan berada di dalam kandang kambing.
“Ular sepanjang kira-kira 1.2 meter itu berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit bagi memastikan keselamatan anggota serta penduduk di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi menangkap ular berkenaan selesai pada 10.28 pagi sebelum anggota bergerak pulang ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Debak pada 10.30 pagi.
Katanya, operasi itu melibatkan empat anggota iaitu Prebet Clarence Dunggau Mendit, Prebet Muhd Adizan Muhiddin, Prebet Andrian Sumok dan Prebet Muhammad Sofiani Bohari.
“Jarak dari PKOD Debak ke lokasi kejadian adalah kira-kira satu kilometer dan operasi berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.
Kejadian berkenaan turut menunjukkan kepentingan orang awam mendapatkan bantuan pihak berkuasa apabila berdepan kehadiran haiwan liar bagi mengelakkan risiko kecederaan atau kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman




