
ROBAN: Tindakan pantas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok berjaya menangkap seekor ular katam tebu sepanjang kira-kira satu meter yang ditemui bersembunyi di bahagian enjin sebuah kereta di Plunga Baruh Roban, semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.23 malam memaklumkan kelibat seekor ular berada dalam enjin kenderaan yang diparkir di hadapan sebuah rumah.
Beliau berkata, sepasukan tiga anggota daripada Skuad Charlie segera digerakkan ke lokasi pada 9.25 malam dan tiba kira-kira 40 minit kemudian bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.
“Setibanya di lokasi, anggota memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum memulakan operasi mencari ular di kawasan yang ditunjukkan oleh pengadu.
“Selepas kira-kira 12 minit pencarian, anggota berjaya menangkap seekor ular katam tebu sepanjang lebih kurang satu meter menggunakan teknik menyepit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi tersebut membabitkan tiga anggota iaitu Prebet Zainal Zamran, Prebet Mohd Khairul Safwan Lawie dan Prebet Ikhtiaruddin Yafiq Ahmad Sufian.
Operasi turut menggunakan sebuah kenderaan persendirian serta peralatan khas menangkap ular termasuk penyepit ular, penjerut ular, kotak penyimpanan ular, lampu suluh dan kelengkapan keselamatan.
Nur Athirah berkata, operasi berjaya diselesaikan pada 10.17 malam sebelum pasukan kembali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD).
Beliau berkata, sepanjang operasi dijalankan, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan keadaan di lokasi kekal selamat serta terkawal.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya menemui ular atau haiwan berbisa, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan.
Oleh Adi Safarman