ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Semua rakyat Sarawak baharu balik dari Semenanjung/Sabah atau Labuan yang akan dikuarantin selama 14 hari tempat mereka tiba (destinasi terakhir) iaitu Kuching/Sibu / Bintulu / Miri akan diambil sampel (PCR Swab) pada hari ketujuh.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata dari masa ke semasa, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan menambaik SOP yang sedia ada berdasarkan situasi terkini dan kes yang dilaporkan.
“Ini adalah perubahan dasar daripada yang telah diumumkan pada 17 April, yang membenarkan mereka dikuarantin di rumah.
“Namun disebabkan terdapat kes positif di kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari Indonesia melalui KLIA dan kes positif dari Kuching dan Miri yang baharu balik dari luar negara dan Kuala Lumpur, JPBN membatalkan keputusan tersebut,” katanya pada sidang media laporan harian Covid-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia ,semalam.
Beliau menambah setelah sampel diambil pada hari ketujuh dan sekiranya keputusan adalah negatif, mereka akan dibenarkan pulang dan menyambung semula kuarantin di rumah sampai habis 14 hari.
“Keputusan kedua berkuatkuasa serta merta, semua penumpang domestik (dalam Sarawak) dikehendaki untuk mengisi borang e-Health Declaration yang disediakan dalam laman web http://sdmc.sarawak.gov.my,” kata Uggah.
Terdahulu, Uggah memaklumkan sehingga semalam, seramai 1,493 orang telah dikuarantin di 16 buah hotel di seluruh negeri Sarawak.
“Daripada 1,493, seramai 186 telah lengkap menjalani tempoh kuarantin dan dibenarkan pulang ke rumah.
“Hari ini seramai tujuh orang lagi individu di bawah pengawasan (PUS) baharu telah mendaftar masuk di hotel dengan lima daripadanya ditempatkan di Wasan Inn, Bintulu dan dua di Hotel Purnama, Limbang,” jelas Uggah.