Uji kelajuan kenderaan di jalan awam boleh dikenakan tindakan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Individu yang menggunakan jalan raya untuk menguji kemampuan kelajuan motosikal atau kereta boleh dikenakan tindakan, meskipun tidak berlumba dengan kenderaan lain, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

“Jalan awam, termasuk laluan yang lurus, tidak boleh dijadikan tempat menguji kelajuan kenderaan kerana aktiviti sedemikian sepatutnya dilakukan di litar lumba,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, hari ini.

Berhubung perbezaan perbuatan menduga kelajuan dan memandu melebihi had laju, beliau berkata perkara itu akan diperincikan selepas pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] itu diwartakan kelak.

RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, yang antara lain bertujuan membendung kegiatan lumba haram dan menduga kelajuan melibatkan semua jenis kenderaan itu kemudian diluluskan Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju.

RUU itu, antara lain memasukkan seksyen baharu 42A (2), iaitu mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam menduga kelajuan di jalan melibatkan satu atau lebih kenderaan motor telah melakukan kesalahan, yang boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. – Bernama