SIMANGGANG: Disangka bom, tetapi ubi kayu gergasi menjelma tanpa disangka-sangka.
Penemuan ini telah mengejutkan seorang pesara kerajaan ketika mencangkul dan terhentak objek keras dalam tanah di kebun milik bapa mertuanya, Ahad lepas.
Bagaimanapun setelah digali secara berhati-hati, Abu Sera dari Kampung Muhibbah di sini akhirnya menyedari bahawa objek keras berkenaan adalah merupakan sebiji ubi kayu ‘gergasi’ dan bukannya bom.
“Pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah bom peninggalan askar Jepun ketika Perang Dunia Kedua dahulu.
“Pada mulanya saya berasa takut dan cemas. Namun saya tekadkan diri untuk mengali tanah berkenaan secara berhati-hati sebelum mendapati bahawa ia sebenarnya adalah sebiji ‘raja’ ubi kayu,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Setelah digali keluar, Ramli mendapati bahawa buah ubi kayu gergasi berkenaan memiliki ukuran sepanjang dua kaki dengan berat dipercayai mencecah hampir 50 kilogram.
Beliau bersama isteri kemudiannya memberitahu penemuan berkenaan kepada ahli keluarga sebelum ubi kayu gergasi tersebut
dijadikan kerepek ubi.
“Ubi gergasi berkenaan dihasilkan menjadi Raja Kerepek Mukah. Bagaimanapun kerepak tersebut hanya diagih dalam kalangan ahli keluarga kami dengan sebahagiannya lagi dibawa oleh saya pulang ke Kampung Muhibbah di sini,” kata Ramli.
Beliau juga turut berharap agar dapat menemui buah-buahan bersaiz besar seperti ini di kebun bapa mertua di Mukah pada masa akan datang untuk terus dikongsi bersama ahli keluarga serta sahabat handai.
“Selain menanam ubi kayu, saya dan isteri juga turut menanam lain-lain buah seperti rambutan dan pisang di kebun bapa mertua dalam kawasan skim penempatan lorong 4 di Mukah ini.
“Semua itu saya lakukan ketika mempunyai waktu terluang. Lagi pun membiarkan tanah terbiar begitu sahaja adalah tidak wajar kerana ia juga boleh memberi pulangan hasil jika diusaha dengan betul,” kata Ramli.
Oleh Valentine Ngumbang