Uber, syarikat AI Wayve lancar robotaksi swapandu pertama di London

Facebook
WhatsApp
ROBOTAKSI SWAPANDU...Uber melancarkan perkhidmatan robotaksi swapandu pertama UK di London dengan teknologi pemanduan berasaskan AI Wayve. Foto AFP

LONDON: Uber melancarkan robotaksi swapandu pertama United Kingdom (UK) di London selepas bekerjasama dengan syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI) Britain, Wayve, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penduduk London boleh mendapatkan kenderaan autonomi menerusi Uber, namun setiap kenderaan masih mempunyai pemandu keselamatan yang boleh mengambil alih kawalan jika diperlukan.

Kedua-dua syarikat memaklumkan mereka mengendalikan “sejumlah kecil” kenderaan elektrik sepenuhnya Ford Mustang Mach-E yang dilengkapi teknologi pemanduan AI Wayve.

Transport for London memberikan lesen kereta sewa persendirian kepada kenderaan swapandu itu bulan lepas.

Uber memaklumkan lebih 140,000 penduduk London telah memilih menerusi aplikasi e-panggilan itu untuk menyatakan keutamaan mereka menggunakan kenderaan swapandu.

Ketua Mobiliti Autonomi Global Uber Sarfraz Maredia berkata: “Kami berbesar hati dapat menawarkan perjalanan autonomi kepada pengguna Uber di London buat kali pertama, dikuasakan Wayve, sebuah syarikat teknologi Britain yang berjaya dibangunkan di negara ini.

“London ialah hab inovasi pengangkutan bertaraf dunia dan pelancaran ini merupakan pencapaian penting dalam memperluas penggunaan teknologi kenderaan autonomi (AV) yang selamat dan mudah diakses di sebuah bandar yang mempunyai antara rangkaian jalan raya paling kompleks di dunia.”

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Wayve Alex Kendall berkata: “Kami berbangga memperkenalkan Wayve AI Driver kepada orang ramai buat kali pertama di London, bandar tempat kami berpangkalan dan antara persekitaran pemanduan paling kompleks di dunia.

“Teknologi pemanduan autonomi akan melengkapi rangkaian pengangkutan bandar yang luas dan kami teruja untuk memberi penduduk London peluang menjadi yang pertama merasai teknologi ini ketika kami memulakan pelancarannya di peringkat global bersama Uber.”

Wayve diasaskan pada 2017 oleh dua pelajar kedoktoran (PhD) Universiti Cambridge.

London akan menjadi bandar pertama di dunia menggunakan teknologi itu bagi perjalanan komersial.

Setiausaha Pengangkutan Heidi Alexander berkata: “Ini merupakan pencapaian penting bagi masa depan pengangkutan di London apabila inovasi Britain membawa teknologi ini ke jalan raya dan memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang.

“Seiring perkembangan teknologi ini, kami mahu menyokong peluang baharu dalam pelaburan dan kemahiran, di samping mengiktiraf peranan penting yang akan terus dimainkan mereka yang bekerja dalam sektor ini ketika ini.”- Bernama-dpa