PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hari ini menerima kunjungan hormat rombongan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Astana Negeri di sini.
Kehadiran rombongan diketuai Yang Dipertua PKMS, Dr Wan Ali Tuanku Madhi adalah untuk menjemput Wan Junaidi menghadiri majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-85 persatuan itu.
Menurut Dr Wan Ali, majlis tersebut akan diadakan di Pusat Acara Hikmah Exchange, pada 26 Oktober ini.
Katanya, kehadiran Yang di-Pertua Negeri kelak turut merasmikan serta menyempurnakan pelancaran sempena pembinaan bangunan PKMS yang sedang dibina.
“Bangunan PKMS di Jalan Patingan berhampiran kawasan antara Jalan Patingan dan Jalan Muhibbah sedang dibina.
“Pembinaannya memakan masa selama 18 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026,” katanya.
Sementara itu, beliau menyatakan bahawa pada majlis makan malam itu juga akan menyaksikan pelancaran buku mengenai adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu di Sarawak.
“Buku yang dihasilkan ini adalah usaha PKMS dalam menyebarkan sejarah perkahwinan masyarakat Melayu Sarawak dahulu,” katanya.
Kira-kira 500 orang tetamu termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta jemputan khas dari negara jiran iaitu Sambas dan Pontianak, dijangka turut hadir pada majlis makan malam itu nanti.