TUN Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (tengah) menyerahkan sumbangannya kepada PVATM menerusi Tabung Rayuan Hari Pahlawan.
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima dua kunjungan hormat di Demak Jaya, di sini, pagi semalam.
Kunjungan hormat pertama adalah daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diketuai oleh Presiden Persatuan Veteran ATM Sarawak, Jimbau Galau.
Menurut Presiden Persatuan Veteran ATM Datuk Sharuddin Omar, PVATM merupakan antara persatuan sulung di Malaysia dan telahpun menyambut ulang tahun ke-100 tahun penubuhannya sejak 20 Mei 1922 manakala 64 tahun di Sarawak dengan 22 pejabat cawangan di seluruh Bumi Kenyalang yang mempunyai 8,800 keahlian berdaftar setakat ini.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan menjemput TYT bagi melancarkan Tabung Rayuan Hari Pahlawan dan dalam masa sama mempelawa orang ramai menyalurkan sumbangan untuk membantu golongan veteran yang memerlukan.
Sejurus selepas itu, TunTaib menerima kunjungan hormat kedua daripada Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak (OUNA) yang diketuai oleh Presiden OUNA, Dato Abu Bakar Abdullah bertujuan menjemput beliau ke Majlis Kenangan Kubu-Kubu dan Pekan-Pekan Bersejarah Baram dan Jemputan Tanam Pokok Kelapa serta Pokok Kayu di Loagan Bunut.