PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan hadir merasmikan Masjid al-Haj di Kampung Jerijih, Jumaat ini pada 1 November.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, masjid baharu di Kampung Jerijih itu boleh memuatkan sehingga 1,000 orang jemaah dalam satu-satu masa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu memberitahu, jumlah keseluruhan kos pembinaan masjid itu adalah sebanyak RM7 juta.
“Dengan ada masjid baharu ini, semua kampung di kawasan Rajang kini telah dibangunkan masjid dengan Jerijih menjadi kampung terakhir menerima masjid baharu.
“Pembiayaan yang disediakan di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) ialah sebanyak RM4.5 juta, tetapi dengan tambahan perbelanjaan untuk pagar dan ciri-ciri lain, jumlah kos pembangunan masjid adalah lebih kurang RM7 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri di Astana Negeri di sini hari ini.
Masjid al-Haj di Kampung Jerijih mula dibina pada 2020 dan siap tahun lepas.
Pelbagai program akan diadakan sempena majlis perasmian masjid itu termasuk solat berjemaah yang diimamkan oleh Imam Negeri Sarawak dan bacaan khutbah oleh Mufti Sarawak.
Selepas perasmian masjid, isteri Tun Wan Junaidi, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi akan melawat pusat tenunan di Kampung Rajang, kira-kira 15 minit dari masjid.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Mu ‘al Suaud; Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh dan Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah.