PETRA JAYA: Usaha kini dilakukan untuk mengesan keluarga dua bekas anggota polis yang pernah bertugas di bawah pimpinan Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ketika itu ialah peristiwa tragis melibatkan pertempuran dengan kumpulan komunis di Tulai, Binatang (kini Bintangor) pada 1971.
Anggota yang dimaksudkan ialah Konstabel Jabu anak Ajai, yang terkorban dalam kejadian tersebut, dan Konstabel Merom anak Bujak, yang mengalami kecederaan parah.
Menurut catatan di facebook Wan Junaidi, bagi tujuan itu satu perjumpaan diadakan dengan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ibrahim Darus, bertempat di Kesuma Resort di sini hari ini.
Pertemuan itu turut disertai pegawai kanan PDRM Sarawak, termasuk SAC Mohd Taufik Toh Abdullah (Ketua Jabatan Cawangan Khas IPK Sarawak), SAC Mohd Rizal Abd Rahman Sidek (Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak), SAC Dr. Che Ghazali Che Awang (Komander Briged Sarawak PGA) dan Supt Sudirman Kram (Supt. Pentadbiran/Jabatan Pengurusan Sarawak).
Wan Junaidi dalam catatan itu merakamkan penghargaan kepada PDRM Sarawak atas komitmen mereka dalam membantu mengesan keluarga kedua-dua anggota tersebut, yang telah memberikan pengorbanan besar demi keamanan negara.
Dalam pertemuan selama dua jam itu, Wan Junaidi turut mengimbas semula pengalamannya sebagai pegawai polis.
Beliau turut menerima gambar lamanya ketika disahkan pangkat Inspektor pada 1970, lengkap dengan pakaian rasmi sebagai pegawai Pasukan Polis Hutan.
Wan Junaidi juga berkongsi tongkat miliknya yang berusia lebih 51 tahun semasa menjadi anggota polis, simbol dedikasinya kepada pasukan keselamatan.