PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat delegasi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak pada 11.30 pagi tadi di Bilik Mengadap Utama, Astana Negeri Sarawak.
Delegasi tersebut diketuai Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mersal Abang Rosli, Timbalan Pengarah (Operasi) Yayasan Sarawak Mohamad Adzlie Ibrahim, Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leonard Doo, serta Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Infrastruktur Pendidikan) Yayasan Sarawak Jolly Marikan.
Kunjungan ini bertujuan menjemput Tun Wan Junaidi, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi ke Majlis Sungkei Anak Sarawak, yang dijadualkan berlangsung pada 22 Mac 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Majlis ini dijangka menghimpunkan seramai 1,400 tetamu, terdiri daripada pelajar serta warga Sarawak yang menetap, dan bertugas di Semenanjung Malaysia.
Tun Wan Junaidi mendoakan agar persiapan majlis ini berjalan lancar dan majlis tersebut menjadi platform bermakna untuk mempererat ukhuwah serta menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam kalangan anak Sarawak di perantauan.