
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Menyambut ketibaan Tun Wan Junaidi ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Solat sunat Aidilfitri itu telah dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi bersama lebih 5,000 umat Islam.
Selesai solat, program diteruskan dengan Kutbah Raya bertajuk ‘Hakikat Kemenangan Aidilfitri’.
Usai menunaikan solat Aidilfitri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi dijadual mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 di Astana Negeri Sarawak bermula 10.00 pagi hingga 4.00 petang pada 1 Syawal.
Sementara itu, Abang Johari pula mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Hari Raya pertama 10.00 pagi hingga 3.00 petang manakala pada Hari Raya kedua, 10.00 pagi hingga 2.00 petang.
Turut hadir mengimarahkan lagi pagi Syawal itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan yang lain.