SIBU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi mengunjungi
kediaman Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kesihatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, dan isteri, Datin Lily Wong sempena hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.
Mengiringi Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan dalam kunjungan ini ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Menteri Belia dan Sukan, serta Menteri Perusahaan Usahawan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, bersama isteri, Datin Sri Zuraini Jabbar, selaku Menteri Pengiring.
Ketibaan Tun Wan Junaidi, dan rombongan disambut dengan persembahan tradisional tarian singa, yang melambangkan kemakmuran dan kesejahteraan.
Sebagai simbol kebersamaan dan harapan untuk kejayaan, Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan, serta tetamu kehormat turut serta dalam upacara menggaul Yee Sang.
Turut hadir dalam kunjungan ini ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee, serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Selain menikmati jamuan, Tun Wan Junaidi, dan hadirin berkesempatan bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa, khususnya berkaitan pembangunan serta keadaan setempat di Sibu.
Kunjungan ini mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk Sarawak.
Diharapkan sambutan Tahun Baharu Cina ini terus memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemarakkan nilai kebersamaan antara rakyat pelbagai kaum.