
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, menghadiri Majlis Bersungke di Dewan Santapan, Surau Astana Negeri Sarawak, semalam.
Majlis berbuka puasa tersebut turut dihadiri oleh pemimpin kerajaan negeri.
Antara yang hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Zaiedi Suhaili, serta bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Rohani Abdul Karim.
Turut hadir, Pakar Rujuk Syariah Jabatan Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim, bersama isteri, Datin Faizah Abdullah.
Acara dimulakan dengan hidangan berbuka puasa ringan sebelum solat Maghrib berjemaah.
Tun Wan Junaidi dan para hadirin kemudian menikmati juadah utama sebelum menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih bersama.
Majlis diakhiri dengan sesi moreh sebagai tanda ukhuwah yang erat dalam menghayati bulan Ramadan.
Sementara itu, kehadiran wakil daripada pelbagai pertubuhan Islam, termasuk Pertubuhan Al Falah Al Islamiyya, Sekolah Rendah & Menengah Islam Ar-Razi, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Sarawak, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak, serta Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), menyerlahkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat Islam.
Majlis Bersungke ini bukan sekadar kesempatan untuk berbuka puasa bersama, tetapi juga platform mempererat hubungan antara pemimpin, organisasi Islam, dan masyarakat setempat.
Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat mencerminkan semangat Ramadan sebagai bulan penuh keberkatan dan kasih sayang sesama insan.