
KUCHING: Masyarakat Dayak dan Bumiputera di Sarawak digesa untuk memberi penekanan terhadap penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan daya saing dan mengelakkan jurang ekonomi yang lebih besar pada masa hadapan.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kecenderungan memilih bidang pengajian yang kurang mempunyai nilai pasaran berisiko menyebabkan tenaga kerja Bumiputera terlepas peluang pekerjaan bernilai tinggi khususnya dalam sektor industri berimpak tinggi.
“Penguasaan ilmu, kemahiran teknologi serta kebolehan menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi digital dan ekonomi hijau amat penting ketika Sarawak bergerak ke arah mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Saya menggesa seluruh barisan kepimpinan dan ibu bapa dalam komuniti Bumiputera agar menjadi pendorong utama dalam membimbing anak-anak memilih laluan pendidikan yang bersesuaian dengan tuntutan semasa melalui STEM dan TVET,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Gawai 2026 yang disiarkan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Hari Gawai bukan sahaja melambangkan kesyukuran atas hasil tuaian, malah menjadi wadah memperkukuh identiti, budaya dan tradisi masyarakat Dayak yang menjadi antara khazanah penting negeri ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar Sarawak terletak pada kepelbagaian etnik dan budaya yang hidup dalam suasana harmoni serta semangat ‘Segulai Sejalai’ yang terus menjadi asas perpaduan rakyat.
“Masyarakat Dayak telah memainkan peranan signifikan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, perladangan, perkhidmatan awam, sektor swasta dan bidang profesional yang menyumbang kepada pembangunan Sarawak di peringkat nasional dan antarabangsa,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap sambutan Gawai tahun ini dapat menjadi titik tolak untuk seluruh rakyat memperbaharui azam dalam membina Sarawak yang lebih inklusif, progresif dan mampan, selain terus memelihara perpaduan antara kaum demi kesejahteraan generasi akan datang.