KUCHING: Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng merupakan salah seorang tokoh masyarakat Iban yang memberi sumbangan besar dalam merealisasikan penubuhan Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tarikh 16 September 1963 melambangkan perpaduan antara pemimpin dan rakyat dari ketiga-tiga wilayah yang bersatu di bawah satu negara yang dikenali sebagai Malaysia.
“Proses panjang yang dilalui dengan semangat setiakawan daripada pemimpin seperti Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah dari Sarawak, Tun Datu Mustapha Datu Harun, dan Tun Muhammad Fuad Stephens dari Sabah akhirnya berjaya menubuhkan negara baru yang dinamakan ‘Malaysia’, walaupun Brunei tidak menyertainya,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika merasmikan Program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari turut mengagumi ketajaman fikiran Tun Jugah, walaupun beliau tidak menerima pendidikan formal semasa zaman pemerintahan Brooke yang kurang menekankan pendidikan moden.
“Satu perkara yang sangat dikagumi tentang Tun Jugah adalah ketajaman fikiran dan pandangan realistiknya, walaupun beliau tidak dilahirkan dalam keluarga berpendidikan tinggi.
“Beliau berjaya mempelajari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris melalui pergaulannya dengan masyarakat“, katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa Tun Jugah adalah orang Iban pertama yang menerima penghormatan dari kerajaan British.
Pada masa yang sama, program tersebut turut diserikan dengan pengkisahan oleh anaknya, Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi, yang juga Pengerusi Yayasan Tun Jugah.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang; Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Gambar
Datuk Amar Douglas Embas semasa berucap mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng di Kuching, hari ini.