PETRA JAYA: Bakal jemaah umrah dan haji dinasihatkan supaya menyemak status serta latar belakang ejen pelancongan sebelum membuat sebarang bayaran bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kes penipuan membabitkan pakej umrah dan haji masih berlaku setiap tahun, termasuk melibatkan rakyat Sarawak.
“Setiap tahun kita masih mendengar kisah individu yang ditipu ketika ingin menunaikan ibadah haji atau umrah. Ramai rakyat Sarawak juga pernah menjadi mangsa.
“Mereka yang ingin mengerjakan umrah atau haji perlu menyemak terlebih dahulu latar belakang ejen pelancongan yang dipilih. Jika menggunakan ejen berdaftar di bawah Persatuan Umrah dan Haji Sarawak (SUHA), saya berani mengatakan kes penipuan seperti ini tidak akan berlaku,” katanya pada sidang media Ekspo Umrah dan Pelancongan Islam Sarawak 2026 (SUITEX26) di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Beliau berkata, SUITEX26 yang memasuki edisi kedua akan berlangsung di Pusat Beli-Belah Boulevard, Miri dari 28 hingga 30 Ogos ini.
Menurutnya, ekspo selama tiga hari itu menghimpunkan 15 syarikat pengendali umrah dan haji berlesen yang berdaftar dengan SUHA bagi memberi peluang kepada orang ramai membandingkan pakej, mendapatkan khidmat nasihat secara terus serta menikmati pelbagai tawaran istimewa.
Katanya, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti sesi perkongsian ilmu, ceramah agama, forum, demonstrasi praktikal Haji Cilik serta cabutan bertuah.
“Pelancongan Islam merupakan segmen yang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang, bukan sahaja dari sudut ekonomi, malah sebagai platform memperkukuh nilai, budaya serta jaringan kerjasama serantau,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran SUITEX26 selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memperluaskan produk pelancongan yang inklusif dan berkualiti, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan Islam yang progresif di rantau Borneo.
Sementara itu, Pengerusi SUHA, Ruzaiman Ghazali berkata, SUITEX26 dijangka menarik kehadiran pengunjung dari Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat, Indonesia.
Beliau berkata, pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai hampir RM80,000 termasuk pakej umrah percuma, pakej percutian ke Indonesia, tiket penerbangan serta pelbagai baucar.
“Pengunjung tidak perlu membuat sebarang pembelian. Mereka hanya perlu mendaftar dan hadir ke ekspo untuk melayakkan diri menyertai cabutan bertuah,” katanya.
Shikin Mahmud





