KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan walkabout di premis tumpuan pengguna sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali (SHMMP DV) Tahun 2020 di sini, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Stanley Tan berkata, lawatan bertujuan untuk membuat tinjauan ke atas premis peniaga sempena pelaksanaan SHMMP DV 2020 yang telah berkuatkuasa bermula pada 9 sehingga 17 November lepas.
“Tempoh kuatkuasa skim ini adalah selama sembilan hari iaitu lima hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan dan tiga hari selepas perayaan.
“Selain itu, lawatan juga bertujuan bagi mengingatkan peniaga dan pengguna bahawa kerajaan amat prihatin dan serius dalam menangani isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Stanley berkata, hasil daripada lawatan yang dijalankan mendapati kesemua barang harga terkawal ditawarkan tidak melebihi harga kawalan.
“Hasil lawatan di Pasar Raya Mydin, Petra Jaya didapati kesemua barang harga terkawal ditawarkan tidak melebihi harga kawalan malah kami mendapati ada beberapa barang kawalan dijual di bawah daripada paras harga kawalan.
“Ini bersesuaian dengan skim kawalan harga yang mana peniaga digalakkan menjual barangan terkawal pada harga yang lebih rendah daripada harga kawalan maksimum sekiranya barangan tersebut diperolehi lebih rendah atau peniaga mengurangkan margin keuntungan mereka,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Stanley turut mengingatkan para peniaga supaya tidak menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan menegaskan peniaga yang didapati ingkar dengan peraturan tersebut akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum bagi individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, bagi pemilik syarikat mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Manakala kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal bagi Individu mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan pemilik Syarikat mereka boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” ujarnya.
Sehubungan itu, pemantauan dan pemeriksaan dilakukan setiap hari oleh seramai 178 pegawai penguatkuasa dan 102 pegawai pemantau harga di seluruh cawangan KPDNHEP Negeri Sarawak.
“Kementerian juga mendapati tiada situasi pembelian panik berlaku dan hasil pemeriksaan mendapati bekalan barang keperluan seperti makanan dan keperluan asas adalah mencukupi dan mudah diperolehi di seluruh Sarawak.
“Untuk rekod statistik, bagi 1 Januari sehingga 11 November 2020, KPDNHEP Negeri Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan premis sebanyak 56,404 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar, menghasilkan keseluruhan kes sebanyak 901 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM 2,813,242.71 dan jumlah kompaun sebanyak RM 237,000.00,” jelasnya.
Oleh Jeakqleyn Yacho