Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Tumpik Maknek tampilkan cita rasa tradisional Melanau
  • RENCANA

Tumpik Maknek tampilkan cita rasa tradisional Melanau

Utusan Sarawak 2 hours ago
GERAI Tumpik Maknek milik Isniah Daud di Kampung Boyan.

PETRA JAYA: Di sebalik kepesatan pembangunan dan kemunculan pelbagai makanan moden, hidangan tradisional masyarakat Melanau masih kekal mendapat tempat di hati penggemarnya.

Antara makanan warisan yang terus dipelihara ialah tumpik, sejenis kuih tradisional berasaskan sagu yang kini diketengahkan semula menerusi perniagaan Tumpik Maknek di Kampung Boyan.

Dihasilkan daripada adunan tepung sagu dan kelapa parut yang dicampur sedikit garam sebelum dibakar, tumpik bukan sekadar makanan ringan, malah menjadi lambang warisan budaya masyarakat Melanau yang diwarisi turun-temurun.

TUMPIK Maknek menawarkan pelbagai variasi berinti seperti udang, sotong dan lumek bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang semakin pelbagai.

Menurut pengusaha Tumpik Maknek, Isniah Daud selain tumpik kosong yang menjadi pilihan ramai, mereka turut menawarkan pelbagai variasi berinti seperti udang, sotong dan lumek bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang semakin pelbagai.

Katanya, idea untuk mengusahakan perniagaan tersebut tercetus daripada minat terhadap makanan tradisional yang sering dinikmati bersama keluarga sejak kecil.

“Dulu kami memang gemar makan tumpik yang dibuat di rumah. Apabila melihat makanan ini tidak begitu banyak dijual, kami melihat ada peluang untuk memperkenalkannya kepada lebih ramai orang,” katanya.

ISNIAH sedang memasak tumpik.

Bagi memastikan keaslian rasa dan cara penyediaannya terus terpelihara, mereka mendapatkan tunjuk ajar daripada ibu saudara yang berpengalaman menghasilkan dan menjual tumpik di kawasan Pantai Tanjung Kembang.

“Daripada beliau kami belajar cara penyediaan yang betul, termasuk pemilihan bahan dan teknik membakar supaya rasa asli tumpik dapat dikekalkan,” katanya.

Keistimewaan tumpik terletak pada kesederhanaan bahan yang digunakan, namun mampu menghasilkan rasa yang unik dan mengenyangkan.

Tumpik kosong lazimnya dinikmati bersama gula apong asli yang memberikan rasa manis semula jadi, manakala tumpik berinti seperti udang, sotong dan kelumek lebih sesuai dimakan bersama sos cili.

Selain menjadi pilihan masyarakat tempatan, makanan tradisional itu turut mendapat perhatian pengunjung dari luar Sarawak yang ingin merasai sendiri keunikan sajian warisan negeri ini.

Usaha Tumpik Maknek bukan sahaja membuka peluang perniagaan kepada pengusahanya, malah membantu mempromosikan makanan tradisional Melanau kepada generasi muda agar warisan kulinari tersebut tidak dilupakan.

Dengan sambutan yang semakin menggalakkan, Isniah berharap dapat terus memperkenalkan tumpik kepada lebih ramai pelanggan sambil mengekalkan keaslian resipi tradisional yang menjadi identiti masyarakat Melanau sejak dahulu lagi.

Mereka yang ingin menikmati keenakan tumpik tradisional ini boleh berkunjung ke premis Tumpik Maknek yang terletak di Kampung Boyan, Kuching.

Tiktok: @tumpikmaknek

Masa Operasi: 3.00 petang – 10.00 malam

Lokasi: Kampung Boyan

Tags: RENCANA

Continue Reading

Previous: Budaya menderma darah perlu jadi amalan berterusan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.