MADRID, Sepanyol: Anggota bomba bertungkus-lumus menyelamatkan sebuah biara berusia 1,000 tahun di timur laut Sepanyol ketika kebakaran hutan yang semakin marak menyebabkan tulang raja zaman pertengahan yang dikebumikan di situ dipindahkan dengan segera.
Kebakaran tercetus awal minggu ini dan pada Khamis merebak ke arah dua biara San Juan de la Pena, yang menjadi simbol wilayah Aragon serta terletak di kawasan pergunungan berbatu dan bergelora.
Biara tertua yang menurut legenda mempunyai kaitan dengan Holy Grail itu berasal dari abad ke-10 dan menyimpan jasad raja-raja pertama kerajaan Aragon pada zaman pertengahan.
Unit Kecemasan Tentera Sepanyol (UME) mengeluarkan rakaman yang menunjukkan anggotanya bergegas memindahkan khazanah berharga biara itu pada Khamis, termasuk kotak lutsinar yang mengandungi tengkorak dan tulang, karya seni serta sebuah piala, ketika api marak di kawasan bukit sekeliling.
“Pada saat-saat akhir, kami berjaya menyelamatkan barangan yang mempunyai nilai sejarah luar biasa untuk wilayah ini dan seluruh Sepanyol,” kata Ketua UME, Javier Marcos, kepada pemberita.
“Saya tidak yakin dengan perkembangan kebakaran ini, sebab itu kami masih menempatkan anggota untuk melindungi kedua-dua biara,” katanya.
Tapak warisan itu terletak berhampiran salah satu laluan ziarah terkenal Saint James menuju bandar Santiago de Compostela di barat laut Sepanyol dan menarik kira-kira 100,000 pengunjung setahun.
Nilai simbolik yang tidak ternilai
Felix Longas, anggota persaudaraan agama yang menjaga biara itu, berkata kepada penyiar awam RTVE bahawa tapak berkenaan “mempunyai nilai simbolik yang tidak ternilai”.
“Di situlah akar dan sejarah kami,” katanya sambil menjelaskan perubahan arah angin membantu menghalang api daripada menghampiri tiang-tiang yang telah dibalut dengan bahan kalis api.
“Namun, yang memberi kami harapan ialah suhu dijangka menurun petang ini dan hujan diramalkan turun esok, sekali gus mungkin membolehkan kebakaran dipadamkan sepenuhnya.”
Pihak berkuasa wilayah berkata lebih 10,000 hektar kawasan telah “terjejas”, manakala kira-kira 850 penduduk dipindahkan dari beberapa penempatan kecil dan kampung.
Pemimpin Aragon, Jorge Azcon, tidak menolak kemungkinan lebih banyak pemindahan dan berkata tiga pesawat pemadam kebakaran mungkin tiba dari Perancis bagi memperkuatkan kira-kira 500 anggota yang sudah bertungkus-lumus memadam kebakaran.
Gelombang haba yang melanda Eropah mewujudkan keadaan ideal untuk kebakaran hutan, dengan Sepanyol mengalami bencana kebakaran hutan terbesar dalam sejarah mutakhirnya pada akhir Julai, hanya beberapa puluh kilometer dari Madrid.
Wilayah Aragon berada di bawah amaran cuaca panas tahap kedua tertinggi, iaitu amaran jingga, pada Jumaat, dengan suhu maksimum mencecah 37 darjah Celsius di kawasan kebakaran.
Kebakaran hutan telah memusnahkan lebih 283,000 hektar kawasan di Sepanyol tahun ini, menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah, selepas tahun 2025 mencatatkan rekod apabila hampir 400,000 hektar kawasan terbakar. – AFP




