TRISO: Tulang ikan paus yang ditemui terdampar di perairan Sungai Batang Lupar dekat Jambatan Triso baru-baru ini, akan diserahkan kepada Jabatan Muzium Sarawak untuk diawet.
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam kenyataan hari ini menyatakan hasil bedah siasat menemui sampah sarap seperti selipar, plastik dan lain-lain di dalam perut ikan paus tersebut.
Menurut SFC pihaknya telah membuat siasatan yang amat teliti berhubung penemuan ikan paus dari jenis Paus Baleen (Baleen Whale) dewasa itu.
“Kesinambungan penemuan bangkai ikan paus yang tular beberapa hari yang lepas, pihak SFC telah membuat siasatan yang amat teliti dan mendapati paus itu berkemungkinan besar telah dihanyutkan oleh arus deras disebabkan oleh musim tengkujuh ketika ini.
“Setelah bedah siasat dijalankan, Pengawal (controller) Hidupan Liar bersetuju agar tulang paus ini diserahkan oleh SFC kepada Jabatan Muzium Sarawak untuk diawet dan tindakan selanjutnya,” katanya.
Pihak pengurusan SFC dalam pada itu turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Muzium Sarawak; Pejabat Daerah; Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Triso; pihak kontraktor pembinaan jambatan; operator feri Triso dan juga penduduk setempat.
“Penduduk Kampung Triso dan agensi juga membantu dalam proses pembersihan kawasan berkenaan bagi mengelakkan bau yang kurang menyenangkan yang dikeluarkan oleh bangkai paus tersebut,” katanya.
Oleh Adi Safarman