TERBAKAR… Foto edaran yang diambil dan dikeluarkan semalam daripada Pengawal Pantai Filipina menunjukkan
orang ramai menyimbah air ke atas feri yang terbakar berhampiran bandar Real, wilayah Quezon. Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan ramai terselamat di Filipina pada 23 Mei selepas kebakaran melanda sebuah feri yang memaksa penumpang melompat ke laut, kata pengawal pantai dan saksi. •Foto AFP
MANILA: Menurut pengawal pantai dan saksi, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam kebakaran feri yang menyebabkan penumpang terjun ke dalam air.
Pada sebelum 6.30 pagi semalam, kebakaran berlaku di atas feri Mercraft 2, yang mengangkut 124 penumpang dari Pulau Polillo ke Real di Wilayah Quezon di pulau utama Luzon .
Pencarian mangsa yang terselamat diteruskan, dengan 120 orang diselamatkan setakat ini dan tujuh lagi dilaporkan hilang, menurut jurucakap Pengawal Pantai Filipina Commodore Armando Balilo.
Ketika kejadian terdapat seramai 134 penumpang dan kru di atas feri yang mempunyai kapasiti 186 penumpang.
Gambar yang dikongsi pengawal pantai menunjukkan asap hitam tebal berkepul ketika api menyambar seluruh feri.
Balilo berkata, kebakaran dipercayai bermula di bilik enjin dan pasukan penyiasat bersedia melakukan siasatan bagi mengesan punca kejadian.
“Kami dapat menyelamatkan 40 mangsa dengan dua maut,” kata Kapten Brunette Azagra, yang kapal penumpangnya berada 500 meter dari Merccraft ketika kebakaran berlaku.
“Mereka bernasib baik kerana kami juga datang dari Polillo. Mereka memintas kami, tetapi kami hanya berdekatan,” kata Azagra kepada stesen radio tempatan.
Sekurang-kurangnya 23 orang dibawa ke hospital, kata pegawai bencana bandar, Real Ricky Poblete.
“Feri itu masih jauh dari pelabuhan, kira-kira tujuh kilometer jauhnya,” kata Poblete. – AFP