Tujuh hektar kebakaran tanah gambut Kampung Kut masih belum padam

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menjalankan kerja pemadaman kebakaran tanah gambut di Kampung Kut, Daro yang memasuki hari ketujuh operasi. Foto Bomba

DARO: Sebanyak tujuh hektar kawasan tanah gambut di Kampung Kut di sini masih terbakar selepas operasi memadam kebakaran memasuki hari ketujuh hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro, PBT II Hasman Bakar berkata, operasi yang bermula pada 8.30 pagi itu diteruskan bagi memastikan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

Menurutnya, daripada keseluruhan 29 hektar kawasan yang terbakar, sebanyak 22 hektar berjaya dipadamkan setakat ini, manakala baki tujuh hektar masih menjadi tumpuan pasukan operasi.

“Operasi masih bersambung hari ini bagi memadam kawasan yang masih terbakar,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.

KEADAAN kawasan tanah gambut di Kampung Kut, Daro yang masih terbakar selepas operasi pemadaman memasuki hari ketujuh. Foto Bomba

Beliau berkata, operasi itu membabitkan kekuatan 24 anggota daripada empat agensi, iaitu 13 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Katanya, pasukan terus menjalankan kerja pemadaman dan pemantauan di kawasan terjejas bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain.

Operasi memasuki hari ketujuh itu akan diteruskan sehingga keseluruhan kawasan terbakar berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Oleh Tarani Lanting

Sekolah di Serian dibuka semula esok

KUCHING: Semua sekolah menengah dan rendah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan beroperasi seperti sediakala mulai esok. Jabatan