BINTULU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan OM Sarawak menubuhkan kilang khusus bagi pengeluaran wayar berteras kalsium silikon untuk memperkukuh industri ferroalloy dan menerapkan konsep ekonomi kitaran.
Beliau berkata, langkah tersebut membolehkan sisa pengeluaran ferroalloy diproses menjadi produk bernilai tinggi seperti wayar kalsium silikon, yang boleh digunakan dalam pembuatan skru tahan lasak untuk industri pembinaan kapal dan pesawat.
“Teknologi OM Sarawak bukan sahaja mampu mengurangkan pelepasan sulfur dan oksida, tetapi juga memproses sisa pengeluaran kepada produk berguna.
“Ini akan memberi nilai tambah dan memperkukuh rantaian bekalan industri kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-10 OM Sarawak di sebuah hotel ternama di sini, malam tadi.
Abang Johari turut menekankan bahawa sisa industri itu boleh dimanfaatkan dalam projek pembangunan jalan, termasuk jalan penyuap yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan jalan utama.
Langkah sedemikian, tambahnya, adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk membina rangkaian jalan yang lebih mampan.
“Apabila bahan mentah seperti batu semakin berkurangan, sisa industri boleh menjadi alternatif bagi mengeraskan jalan.
“Ini bukan sahaja menyokong pembangunan infrastruktur tetapi juga mengurangkan pembaziran dan berpotensi untuk eksport ke luar negara,” tambah beliau.
Cadangan tersebut dilihat seiring dengan ‘Sustainable Blueprint’ Sarawak, yang mengutamakan pembuatan mesra alam dan rendah karbon.
Abang Johari yakin industri ferroalloy negeri boleh berkembang secara mampan, dengan produk berasaskan ferromangan untuk pasaran eksport pada masa depan.
Dalam pada itu, beliau turut memuji OM Sarawak atas komitmen mereka terhadap inovasi dan teknologi hijau, seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid (PCDS) 2030 dan peralihan kepada ekonomi hijau berasaskan tenaga boleh diperbaharui.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OM Holdings, Low Ngee Tong berkata, syarikat berkenaan telah melabur lebih USD550 juta bagi membangunkan kemudahan mereka menjadi kilang peleburan terbesar di luar China.
“Pada 2023, OM Sarawak menyumbang RM840 juta kepada ekonomi negeri dengan mencipta peluang pekerjaan dan menyokong perniagaan tempatan.
“Kami juga berjaya mencapai lebih 80 peratus tenaga kerja tempatan, satu pencapaian besar sejak mula beroperasi,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Sarawak Energy Dato Ibrahim Baki dan Residen Bintulu Datu Nyurak Keti.
Oleh Carolyne Utih