Tubuh sihat, akal cerdas

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENGUNJUNG memasuki Kampung Warna-Warni Seberang Ramai yang menjadi tarikan pelancongan komuniti sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk menerusi perkhidmatan motosikal choley, jualan makanan tradisional dan pelbagai perniagaan kecil. Foto BERNAMA

ISLAM merupakan agama yang amat menitikberatkan keseimbangan antara perkembangan rohani, jasmani dan akal. Tubuh badan yang sihat bukan sahaja membantu seseorang menjalani kehidupan dengan lebih baik, malah menjadi asas kepada kecerdasan akal serta kekuatan iman.

Pepatah Arab yang terkenal menyebut, “Akal yang sihat datang daripada tubuh badan yang sihat.” Hal ini selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya menjaga kesihatan sebagai satu amanah daripada Allah SWT.

Kesihatan yang baik membolehkan seseorang berfikir dengan jelas, membuat keputusan yang tepat serta melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di bumi dengan sempurna.

Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah SWT daripada mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya ada kebaikan.” (Riwayat Muslim)

Menjaga Tubuh Badan

Menjaga kesihatan tubuh badan merupakan satu tuntutan dalam Islam. Tubuh badan ialah nikmat dan amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Oleh itu, setiap muslim bertanggungjawab memelihara kesihatan dengan mengamalkan pemakanan yang halal dan seimbang, bersenam, mendapatkan rehat yang mencukupi serta menjauhi segala perkara yang memudaratkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, 2:195)

Ayat ini mengingatkan umat Islam agar tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan diri, sama ada melalui pengambilan makanan yang tidak sihat, penyalahgunaan dadah, tabiat merokok atau gaya hidup yang memudaratkan kesihatan.

Islam juga mengajar umatnya agar mengamalkan pemakanan secara sederhana dan tidak berlebihan kerana hal itu merupakan antara cara untuk memelihara kesihatan tubuh badan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah pada setiap kali ke masjid, makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A‘raf, 7:31)

Kita dibenarkan mengambil makanan yang halal, namun perlu mengetahui batas kemampuan tubuh badan dan tidak berlebihan sehingga menjejaskan kesihatan.

Membantu Beribadah

Kesihatan tubuh badan memberikan kesan yang besar terhadap kualiti ibadah seseorang.

Individu yang sihat lebih mudah menunaikan solat dengan sempurna, berpuasa, menunaikan zakat melalui usaha mencari rezeki yang halal, melaksanakan ibadah haji serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kebajikan.

Apatah lagi, ibadah solat melibatkan pelbagai pergerakan seperti rukuk, sujud dan duduk tahiyat yang memerlukan tubuh badan yang sihat dan cergas agar dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi tubuhmu ada hak ke atasmu.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini mengajar bahawa tubuh badan mempunyai hak yang wajib dipenuhi, termasuk mendapatkan rehat, makanan yang mencukupi serta penjagaan kesihatan.

Mengabaikan hak tubuh badan boleh menyebabkan seseorang menjadi lemah dan sukar melaksanakan ibadah dengan khusyuk.

Sebagai contoh, seseorang yang mengamalkan gaya hidup sihat akan lebih bertenaga untuk bangun menunaikan solat tahajud, berpuasa sunat, menghadiri majlis ilmu dan menyertai aktiviti kemasyarakatan.

Sebaliknya, kesihatan yang terjejas akibat sikap cuai terhadap pemakanan dan gaya hidup boleh menghalang seseorang daripada memanfaatkan peluang beribadah secara optimum.

Islam amat menekankan penjagaan kesihatan kerana tubuh badan merupakan amanah Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Kesihatan bukan sahaja memberikan manfaat kepada kehidupan di dunia, malah membantu seseorang meningkatkan mutu ibadah serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Oleh itu, setiap muslim hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan, bersenam, mendapatkan rehat yang mencukupi serta menghindari perkara yang memudaratkan.




Abu Darda’ dan Salman al-Farisi

DALAM kehidupan para sahabat Rasulullah SAW, aspek kesihatan bukanlah perkara yang diabaikan. Mereka memahami bahawa tubuh badan merupakan amanah daripada Allah SWT yang perlu dijaga bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna. Salah satu kisah yang boleh dijadikan teladan ialah kisah Abu Darda’ bersama Salman al-Farisi.

Diceritakan bahawa Abu Darda’ merupakan seorang yang sangat kuat beribadah. Beliau sering berpuasa pada siang hari dan bangun beribadah sepanjang malam.

Isterinya melihat keadaan itu dan berasa bimbang kerana Abu Darda’ kelihatan letih serta kurang memberikan perhatian terhadap kesihatan diri dan keluarganya.

Pada suatu hari, Salman al-Farisi datang menziarahi beliau dan melihat sendiri keadaan tersebut.

Salman menegur beliau dengan penuh hikmah dengan berkata: “Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, tubuh badanmu juga mempunyai hak ke atasmu dan keluargamu juga mempunyai hak ke atasmu. Maka berikanlah setiap yang berhak itu akan haknya.”

Kata-kata ini menunjukkan bahawa menjaga kesihatan tubuh badan merupakan satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.

Apabila perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW, baginda membenarkan kata-kata Salman.

Hal ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan keseimbangan dalam kehidupan antara ibadah, rehat dan tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Kesihatan fizikal yang baik membantu seseorang beribadah dengan lebih sempurna dan konsisten.

Kisah ini memberikan pengajaran bahawa beribadah secara berlebihan sehingga memudaratkan kesihatan bukanlah sesuatu yang dianjurkan dalam Islam.

Sebaliknya, Islam mengajar umatnya agar bersederhana dan menjaga keseimbangan. Tubuh yang sihat akan membantu seseorang melaksanakan ibadah dengan lebih berkualiti serta menjalani kehidupan yang lebih teratur.

Selain itu, para sahabat juga menjaga kesihatan melalui pemakanan yang sederhana dan tidak berlebihan. Mereka mengamalkan gaya hidup yang aktif, bekerja, berjihad dan sentiasa bergerak, yang secara tidak langsung membantu mengekalkan kecergasan tubuh badan.

Akhirnya, kisah Abu Darda’ dan Salman al-Farisi ini jelas menunjukkan bahawa kesihatan merupakan amanah yang tidak boleh diabaikan.

Menjaga tubuh badan bukan sahaja penting untuk kehidupan di dunia, malah memastikan ibadah kepada Allah SWT dapat dilakukan dengan sempurna.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah mencontohi keseimbangan hidup para sahabat dalam menjaga kesihatan fizikal, mental dan rohani.

Oleh Hanzalah Azman

Aku punya pilihan

ADA satu perkara yang tidak pernah dapat dirampas daripada manusia, walau sehebat mana ujian yang datang, walau sebesar mana tekanan

Kewajiban melunaskan hutang

DOSA terbahagi kepada dua kategori, iaitu dosa terhadap Allah SWT dan dosa sesama manusia. Bagi dosa terhadap Allah SWT, seseorang

Tubuh sihat, akal cerdas

ISLAM merupakan agama yang amat menitikberatkan keseimbangan antara perkembangan rohani, jasmani dan akal. Tubuh badan yang sihat bukan sahaja membantu