Trump terkejut Biden pilih Harris

Facebook
WhatsApp
GANDINGAN… Joe Biden (kiri) dan Kamala Harris (kanan) semasa pencalonan Harris sebagai calon naib presiden.

WASHINGTON: Presiden Donald Trump terkejut apabila Joe Biden memilih Kamala Harris menjadi calon naib presidennya memandangkan penampilan senator itu yang dilihat kurang menyerlah, lapor agensi berita Sputnik. 

Terdahulu, Biden dalam satu kenyataan mengumumkan beliau memilih Harris, bekas  Peguam Negara California sebagai gandingannya.  

“Saya agak terkejut kerana dia (Biden) memilih (Harris),” kata Trump dalam satu taklimat pada Selasa.

Trump berkata Harris mahu memotong dana ketenteraan, menentang fracking atau peretakan hidraulik selain prestasi yang kurang memuaskan di peringkat awal.

Katanya, beliau (Harris) “bersikap jahat” kepada Hakim Mahkamah Agung Brett Kavanaugh sepanjang proses pencalonannya.

Biden membuat pengumuman itu enam hari sebelum pembukaan Konvensyen Kebangsaan Demokratik yang dijadual di Milwaukee, Wisconsin, berlangsung sehingga 20 Ogos. Biden tidak akan menghadiri konvensyen itu berikutan wabak Covid-19. – Bernama