KUALA LUMPUR: Syarikat kejuruteraan rel, Trendline Wagon Sdn Bhd optimis untuk berkembang ke luar negara meskipun dalam ketidaktentuan persekitaran Covid-19 menyaksikan pelaksanaan sekatan pergerakan di peringkat global.
Malah, dalam keadaan serba mencabar ini, Trendline Wagon mengumumkan hasrat untuk membuat bidaan antarabangsa dengan komitmen melebihi AS$1 bilion bagi kerja baik pulih di negara Asia termasuk India dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengarah Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya, Paramasivam Batumalai berkata, syarikat itu mempunyai kelebihan untuk berkembang ke luar negara dengan sokongan faktor seperti asas yang kuat, kepakaran relevan, aspek pengeluaran serta infrastruktur baik pulih yang moden selain disokong oleh rakan strategik global seperti ELH Waggonbau Niesky GmbH (pengeluar gerabak kargo yang berpangkalan di Eropah) dan lain-lain.
“Sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah lokasi hab yang strategik dengan sokongan pasaran rel serantau serta dibantu pelabur dan dasar yang mesra industri, telah menyaksikan beberapa peneraju perusahaan rel menghubungi kami bagi tujuan pembangunan bersama, pengeluaran, jualan dan cadangan lain yang tidak kurang menariknya.
“Oleh itu, kami mengunjurkan potensi yang cerah untuk industri rel ketika semua sektor lain berdepan cabaran akibat penularan pandemik Covid-19 itu, katanya kepada Bernama.
Mengulas selanjutnya, beliau berkata Trendline Wagon juga amat komited terhadap industri, pelanggan globalnya serta paling utama adalah pelanggan di peringkat akhir yang merupakan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam penting tersebut.
Trendline Wagon yang sebelum ini dikenali sebagai Landasan Armada Sdn Bhd, telah ditubuhkan pada 2018 dan berpangkalan di Malaysia dengan penyelesaian kejuruteraan rel yang komprehensif dan bertumpukan pengangkutan rel dan peralatan depot.
Paramasivam berkata syarikat itu diiktiraf sebagai peneraju dalam pembuatan, penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) sektor rel tersebut.
“Kami turut mempunyai sebuah kemudahan pembuatan yang khusus untuk Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) SIRIM di Rasa, Hulu Selangor dengan ruang pengeluaran hampir 40,000 meter persegi dan dibarisi oleh pekerja berkemahiran teknikal dan berpengalaman yang pakar dalam pembuatan gerabak rel untuk semua logistik rel.
“Selan itu, kami juga menjalin kerjasama kukuh dengan pengeluar peralatan asli di peringkat global dan disokong oleh lebih 15 rakan niaga yang terkemuka,” katanya.
Paramasivam berkata misi said Trendline Wagon adalah untuk mewujudkan penyelesaian bernilai bagi industri rel yang menggunakan teknologi inovatif manakala visinya adalah untuk muncul sebagai pelopor dengan menerapkan teknologi canggih dalam industri rel Malaysia.
“Selain menghasilkan gerabak biasa, kami turut menawarkan pembuatan khusus bagi tujuan tertentu.
“Jabatan kejuruteraan kami misalnya merekabentuk serta memberi sentuhan khusus gerabak itu berdasarkan ciri yang diinginkan pelanggan manakala jabatan pengeluaran menilai serta membuat gerabak tersebut,” katanya.
Paramasivam mempunyai pengalaman hampir tiga dekad di peringkat global dan berjaya melaksanakan beberapa perniagaan rel dan teknologi. – Bernama