TINJAU… Dato Sri Lee Kim Shin bersama agensi dan jabatan di bawah JPBB Miri pada tinjauan persediaan pembukaan sempadan darat Brunei di ICQS Sungai Tujoh semalam.
MIRI: Warganegara asing termasuk Brunei dinasihatkan untuk mengisi ‘Travellers Card’ terlebih dahulu menerusi aplikasi MySejahtera bagi menjimatkan masa proses kemasukan sempadan.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata demikian ketika bersama agensi dan jabatan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mengadakan tinjauan persediaan pembukaan sempadan darat Brunei di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh di sini semalam.
Katanya, tinjauan ini bertujuan memastikan persediaan rapi telah dilakukan menjelang pembukaan semula sempadan antara Brunei dan Malaysia pada 1 Ogos depan.
“Aliran trafik di ICQ Miri dijangka akan menjadi sangat tinggi kerana pengembaraan bukan sahaja warganegara Brunei tetapi juga warga tempatan akan memenuhi ICQ ini untuk pulang ke halaman rumah setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat penularan Covid-19 di Brunei ditarik balik.
“Seperkara penting, warganegara Brunei termasuk warganegara asing perlu mengisi ‘Travellers Card’ terlebih dahulu menerusi aplikasi MySejahtera,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah, dengan mengisi awal ‘Travellers Card’ menerusi aplikasi MySejahtera akan menjimatkan masa proses kemasukan sempadan.
Pada tinjauan itu, beliau turut memeriksa semua struktur sedia ada serta menyemak semula keperluan papan-papan tanda termasuk LED yang telah disediakan sejak pembukaan semula sempadan negara untuk keperluan penting pada 1 April lepas.
Sehubungan itu, beliau turut mohon Jabatan Kerja Raya (JKR) menurap semula lubang dan jalan-jalan yang tidak rata di laluan masuk dan keluar di Kompleks ICQS tersebut.
Turut hadir, Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Ketua Imigresen Bahagian Miri Marie Ajeng, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy dan PDRM, JKR, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Pejabat Daerah Miri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Miri (MBM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Oleh ADUM LIU