KUCHING: Genap 41 tahun hari ini sejak 1982, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan anak-anak syarikatnya meneruskan tradisi amal kebajikan dengan menyumbang dana kewangan berjumlah RM284,000.
Amal kebajikan merupakan cetusan idea Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang pada ketika itu beliau ialah Ketua Menteri Sarawak.
Dana kewangan tersebut disalurkan kepada 62 pertubuhan kebajikan, badan-badan amal, keagamaan dan pendidikan .
Sumbangan derma disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut Awang Tengah, PUSAKA akan terus meneroka bidang lain selain industri berasaskan kayu agar sentiasa dapat menunaikan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada masyarakat.
“Kerajaan juga sentiasa peka dan memahami masalah dihadapi rakyat dan amat prihatin dan merasa bertanggungjawab.
“Kejayaan sesebuah organisasi tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah keuntungan tahunan atau pulangan saham, dividen atau bonus semata-mata.
“Kejayaan sebenar juga harus dilihat daripada komitmen dan kesungguhan untuk berkongsi kemakmuran serta keuntungan dalam menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan derma tahunan PUSAKA dan anak-anak Syarikat 2023 di Wisma Sumber Alam, hari ini.
Justeru, beliau berharap lebih banyak lagi badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan dan sektor korporat tampil dan mengikuti usaha murni ini untuk bersama-sama menyumbang kepada pertubuhan, badan amal dan pihak badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
“Sumbangan seperti ini sangat dialu-alukan, selain mengeratkan silaturahim pegawai dan kakitangan sektor kerajaan dan swasta serta masyarakat setempat, ia sekali gus bantu meringakan beban kewangan pertubuhan yang memerlukan.
Penyampaian sumbangan diadakan pada setiap tahun kecuali tiga tahun lepas ketika seluruh negara dilanda wabak pandemik Covid-19.
Oleh NUR AIN OTSMAN