KUALA LUMPUR: Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, menerima taklimat daripada Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (PENIAGAWATI) mengenai Misi Bantuan Banjir Sarawak oleh PENIAGAWATI yang telah diselaras oleh biro PENIAGAWATI Sarawak.
Taklimat ini telah disampaikan oleh Presiden PENIAGAWATI, Dato’ Emmy Suraya Hussein, dalam satu sesi yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Dalam sesi berkenaan, pihak PENIAGAWATI memaklumkan bahawa bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa banjir merangkumi kit ibadah, kit kebersihan diri, makanan dan minuman, tilam, bantal, selimut, barangan elektrik, dapur gas, pakaian terpakai, serta peralatan dapur.
Bantuan ini dijadualkan untuk dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan Serian, esok pagi.
Setakat ini, sebanyak RM6,000 telah berjaya dikumpulkan dalam bentuk sumbangan tunai, manakala barangan keperluan seberat tiga tan lori turut berjaya dikumpul.
Penghantaran bantuan ini akan dikendalikan oleh Biro PENIAGAWATI Sarawak dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak bagi memastikan penyampaian bantuan berjalan lancar kepada mereka yang memerlukan.
Turut hadir dalam sesi taklimat ini ialah Timbalan Presiden II Hasnida Abdul Hamid, Setiausaha Kehormat Sharifah Azizah Sayeed Aman Ghazali, Bendahari Kehormat Selinastein Mohd Rashid, Penolong Setiausaha Juliana Amirullah serta Penolong Bendahari Sartika Dewi Sahat.
Toh Puan merakamkan penghargaan kepada Persatuan PENIAGAWATI Sarawak atas inisiatif ini dan berharap usaha ini menjadi contoh kepada persatuan lain dalam membantu meringankan beban mangsa banjir di Sarawak.