BERI TUMPUAN… Dato’ Seri Tiong menulis sesuatu ketika mengadakan lawatan baru-baru ini.
BINTULU: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak perlu mempercepat usaha menambah jumlah menara telekomunikasi di kawasan-kawasan terjejas, kata Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing.
Ini kerana, tegasnya, jaringan jalur lebar amat penting untuk kegunaan penduduk sekitar di sesuatu kawasan dalam aktiviti ekonomi dan juga pendidikan.
“Saya memberi penekanan berhubung masalah jaringan jalur lebar atau internet yang kurang memuaskan di kawasan pinggir bandar. Justeru pihak Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak digesa untuk mempercepat usaha menambah jumlah menara telekomunikasi di kawasan-kawasan terjejas.
“Tambahan pula, ketika ini banyak aktiviti ekonomi memerlukan jaringan internet yang stabil mengikut keperluan semasa termasuk bagi tujuan pendidikan para pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook Parti Demokratik Progresif (PDP) semalam.
Dalam beberapa buah rumah panjang yang dikunjungi semasa lawatan kerja, beliau mendapati kabel internet memang telah ada namun malangnya ia masih tidak dapat memberi manfaat kepada penduduk kerana masih tiada akses kepada liputan internet.
“Maka pihak berwajib yang berkaitan perlu memberikan perhatian serius berhubung perkara ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Tiong turut memberitahu bahawa beliau juga menerima aduan penduduk rumah panjang berhubung masalah bekalan air yang tidak mencukupi.
“Jadi, saya menggesa kepada pegawai Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) agar memberi perhatian lebih kepada masalah bekalan air rumah panjang dan pinggir bandar.
“Saya mendapati tiada pembangunan Projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) di banyak rumah panjang yang saya lawati.
Tambah Tiong, projek-projek tersebut hanya siap separuh jalan dan kini terbengkalai sehingga mengakibatkan penduduk tidak dapat menikmati kemudahan bekalan air.
“Projek-projek ini bermula dengan baik tetapi tidak pada penghujungnya. Adakah ia masih belum dilaksanakan sepenuhnya?
“Sekali lagi saya merayu kepada semua pegawai kerajaan yang berkaitan supaya menyiapkan projek kerajaan tepat pada masanya, memastikan kualiti dan perkhidmatan khususnya pembinaan infrastruktur di pinggir bandar serta pedalaman ini diberikan perhatian dan pemantauan sewajarnya.
“Jangan hanya lepas tangan apabila urusan penganugerahan projek kepada kontraktor selesai sehingga memberikan kesan kepada rakyat,” ujarnya.