KUCHING: Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd melancarkan siri video ‘Scraps to Scrumptious’, satu inisiatif kesedaran sifar sisa makanan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pencegahan sisa makanan.
Disokong oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dan UCSI University, acara pelancaran itu menandakan peristiwa penting dalam usaha memerangi kehilangan dan pembaziran makanan di Sarawak.
Siri video sifar sisa makanan telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni mewakili Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di sebuah hotel di sini, hari ini.
Kata Dr. Sim, pembaziran makanan adalah masalah meluas memerlukan perhatian segera dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, termasuk pengeluar makanan, peruncit, dan pengguna.
“Kita boleh melakukan ini dengan mengamalkan pengeluaran mampan dan penggunaan makanan yang bertanggungjawab untuk meminimumkan penjanaan sisa makanan.
“Sisa makanan adalah salah satu penyumbang utama kepada perubahan iklim kerana ia menghasilkan gas rumah hijau yang berbahaya apabila terurai di tapak pelupusan sampah,” kata Dr. Sim dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Dr. Hazland.
Katanya lagi, adalah penting untuk menggunakan semua sumber seperti tanah, air, bahan api, tenaga, tenaga kerja dan sumber lain untuk menghasilkan makanan secara mampan bagi melindungi alam sekitar daripada kesan buruk sisa makanan.
Bagi menyokong inisiatif itu, Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak NREB Sarawak, Jack Liam berkata, “Kita perlu melihat semula dan memikirkan cara menguruskan makanan.
“Melalui program kesedaran dan pendidikan seperti siri video ini, berfungsi sebagai alat yang berkuasa, alat pendidikan, kami dapat menyerlahkan kepentingan mengurangkan sisa untuk mengekalkan sumber semula jadi kami,” katanya.
Siri video 12 episod ini memaparkan resipi kreatif dan inspirasi menunjukkan bagaimana bahan-bahan yang tidak diingini atau dibuang boleh diubah menjadi hidangan lazat dan berkhasiat.
Melalui video menarik ini, Trienekens, dengan kerjasama finalis MasterChef Asia Jasbir Kaur, berharap dapat menggalakkan individu dan komuniti untuk mengamalkan amalan mampan dan memberi impak positif dalam meminimumkan sisa makanan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens l, Stephen Chin berkata, siri video itu menunjukkan komitmen syarikat menangani isu kritikal sisa makanan.
“Dengan mempamerkan betapa mudahnya resipi inovatif boleh dihasilkan daripada bahan terbuang atau sisa makanan, kami berhasrat untuk memberi inspirasi kepada orang ramai supaya mengambil serius sisa makanan mereka dan berusaha ke arah meminimumkannya untuk masa depan yang mampan.
“Kami juga menganjurkan pertandingan video sifar sisa makanan untuk golongan belia bagi meningkatkan kesedaran tentang pencegahan sisa makanan. Saya ingin menggesa semua belia yang berbakat untuk menyertai dan menyebarkan berita untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu ini,” katanya.
Pelancaran acara itu juga diadakan sempena Hari Kesedaran Antarabangsa Mengenai Kehilangan dan Pembaziran Makanan dan sebahagian daripada aktiviti sampingan yang dirancang di bawah sambutan Hari Alam Sekitar Kebangsaan 2024 anjuran NREB Sarawak pada Oktober.
Siri video sifar sisa makanan akan dikeluarkan setiap minggu di halaman Facebook rasmi Trienekens, laman sesawang dan aplikasi mudah alih Penjagaan Pelanggan mulai 29 September dan seterusnya.
Oleh Nur Ain Otsman