KEPENTINGAN KEKALKAN KEHIJAUAN… Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi menanam sebatang pokok belian sebagai simbolik sempena Hari Menanam Pokok Sedunia di Taman Botani Sarawak, Kuching. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Sebanyak 50 batang pokok yang terdiri daripada empat spesis ditanam di sekitar Taman Botani Sarawak (TBS) bersempena Hari Penanaman Pokok Sedunia.
Antaranya ialah Pokok Belian, Kapur, Gaharu dan Ara.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, pemilihan TBS sebagai lokasi program ini adalah sejajar dengan lokasinya yang terletak di bahagian utara tebingan Sungai Sarawak dan dikelilingi beberapa mercu tanda terkenal seperti Tebingan Kuching, Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) dan Astana. Ia dibangunkan di atas tanah dengan keluasan 206.10 ekar.
“Program ini juga merupakan inisiatif Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk pemuliharaan dan pemeliharaan pokok-pokok hutan di samping menggalakkan penyertaan orang ramai untuk turut sama menanam pokok bagi tujuan penghijauan dan pengindahan alam sekitar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Objektif pembangunan TBS adalah sebagai penempatan koleksi tanaman endigenous yang terdapat di Borneo sebagai pusat pembelajaran dan penyelidikan serta sebagai pusat riadah untuk wargakota.
Pembangunan TBS dibahagikan kepada 14 zon.
Empat zon merupakan kawasan yang sedia ada iaitu Family Park, Arboretum & Orchard, Core Garden dan Central Spine. Manakala, dua zon lagi sedang dalam pembinaan iaitu Riverine Park dan Historical Zone.
Zon-zon yang selainnya sedang dalam peringkat perancangan iaitu Lake District, Celebration Square, Adventure Forest, Visitors Centre, Natural Forest, Formal Garden, Herbarium & Research Centre, New Orchid Garden.
“Oleh demikian, adalah menjadi harapan DBKU agar dengan adanya program seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran awam akan pentingnya mengekalkan kehijauan di kawasan bandar raya.
“Ia bukan sahaja bermanfaat kepada ekosistem malahan mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan ke sini sambil menikmati keindahan pemandangan persekitaran Bandar Raya Kuching secara tidak langsung,” jelasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN