Tingkat pendapatan, Sarawak kini fokus kepada sumber minyak, gas

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan pada sidang media Penyelarasan Semula Laluan Bas Elektrik 103 di Aras 17, Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Sarawak terus memberi fokus kepada potensi pengekstrakan sumber minyak dan gas sebagai langkah utama untuk meningkatkan keuntungan dan pendapatan negara. 

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, penekanan utama kini adalah pada pengekstrakan gas yang diharapkan dapat membawa peningkatan dalam keuntungan dan pendapatan negara.

“Kami telah mempunyai undang-undang yang relevan, dan bagi perkara yang tidak selari, kami akan terus berusaha untuk memperhalusinya,” katanya dalam sidang media Penyelarasan Semula Laluan Bas Elektrik 103 di Aras 17, Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, hari ini. 

Abdul Karim turut menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak akan membiarkan kekangan undang-undang menghalang usaha untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber yang ada untuk kepentingan Malaysia, baik di darat mahupun di pelantar benua. 

Beliau juga menjelaskan bahawa Akta Pembangunan Petroleum Persekutuan (PDA) 1974 masih relevan, tetapi akan digunakan dalam konteks yang berbeza.

“Kedua-dua akta, iaitu Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) dan PDA, boleh beroperasi bersama atau mengikut keperluan masing-masing,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim telah memberikan pengiktirafan kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas tunggal di Sarawak, di mana PETROS akan memastikan pengurusan sumber gas yang lebih efektif.

Oleh Amanda L.

Nanta kecewa 17 kerusi DUN baharu mungkin tidak sempat digunakan PRN akan datang

PETRA JAYA: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi kecewa kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan proses persempadanan semula membabitkan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN). Menteri Kerja Raya itu berkata, berikutan itu kemungkinan besar 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. “Penambahan 17 kerusi baharu ini bukan sahaja penting untuk digunakan pada PRN akan datang, malah menjadi asas kepada usaha memperkukuh kedudukan Sarawak di Parlimen menerusi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Pertambahan kerusi DUN itu mempunyai implikasi besar terhadap usaha Sarawak dan Sabah mendapatkan semula satu pertiga perwakilan di Dewan Rakyat bagi melindungi kepentingan kedua-dua wilayah. “Apabila kita mempunyai sedikit lebih daripada satu pertiga kerusi, sebarang pindaan Perlembagaan atau undang-undang yang melibatkan kepentingan Sarawak dan Sabah tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Ahli Parlimen dari kedua-dua wilayah ini. “Itulah implikasi besar penambahan kerusi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, hari ini. Laporan Utusan Sarawak hari ini memetik sumber sebagai berkata bahawa SPR belum lagi menetapkan tarikh sebenar untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak meskipun telah memohon untuk menggunakan ruang di pejabat majlis perbandaran dan pejabat daerah bagi tujuan itu menerusi surat bertarikh 25 Jun lalu. Sidang Khas DUN pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia. Nanta bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa proses persempadanan semula oleh SPR dimulakan terlalu lewat, sekali gus menimbulkan kemungkinan 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada PRN akan datang. “Saya bersetuju dengan pandangan Dato Sri Abdul Karim kerana nampaknya proses itu tidak sepatutnya ditangguhkan sehingga ke tahap ini. “Implikasinya bukan sekadar kita mahu pertambahan 17 kerusi itu, tetapi lebih penting ia menjadi asas untuk meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99 sebelum kita menambah lagi kawasan Parlimen pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata, harapan sebelum ini ialah supaya 17 kerusi baharu itu dapat digunakan pada PRN akan datang sebelum dijadikan asas bagi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Namun nampaknya kita mungkin tidak dapat menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya. Mengulas tempoh lebih setahun yang diambil SPR untuk memulakan proses persempadanan semula selepas usul penambahan kerusi diluluskan DUN Sarawak, Nanta berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai punca kelewatan tersebut. “Kita tidak tahu proses yang perlu mereka lalui, tetapi dalam tempoh lebih setahun itu sepatutnya ia boleh diselesaikan. “Di mana berlakunya kelewatan itu saya tidak mahu membuat spekulasi. Harapan kita memang mahu menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya akan datang, namun nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan,” katanya. Sementara itu, mengulas cadangan mewujudkan kerusi DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit, Nanta berkata beliau mengalu-alukan bukan sahaja cadangan tersebut, malah keseluruhan 17 kerusi baharu yang dicadangkan. “Bukan hanya Melekun, saya mengalu-alukan kesemua 17 kerusi itu jika dapat diwujudkan. “DUN Sarawak telah meluluskan usul berkenaan dan kini cadangan itu perlu melalui proses seterusnya di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan,” katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai senarai penuh cadangan kawasan baharu yang tular kerana belum melihat dokumen berkenaan.