
SRI AMAN: Program Iftar Kasih Ramadan bukan sahaja bertujuan meraih keberkatan Ramadan tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menunaikan zakat, yang merupakan salah satu daripada lima rukun Islam.
Sebagai sebahagian daripada program, satu sesi podcast ilmiah bertajuk ‘Kewajipan Menunaikan Zakat Dalam Islam’ diadakan, menampilkan tetamu khas, Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohamad Shibi Abang Mohamad Nailie.
Beliau memberi pencerahan mengenai kepentingan zakat dan cara-cara pembayaran zakat yang lebih mudah, termasuk transaksi atas talian, penggunaan kod QR dan aplikasi Baitulmal yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar.
Dalam program tersebut, statistik terbaharu dikongsikan menunjukkan bahawa kadar pembayaran zakat fitrah di Sarawak telah mencapai 96 peratus.

Namun, pembayaran zakat harta masih rendah, walaupun menunjukkan peningkatan, terutama dengan adanya sistem potongan gaji untuk zakat pendapatan.
Selain itu, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan menampilkan 17 kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Ajibah Abol, bantuan wang fidyah kepada 58 penerima serta sumbangan kepada beberapa institusi pembangunan Islam di Bahagian Sri Aman.
Antara institusi yang turut menerima bantuan termasuklah Jawatankuasa Pengurusan Surau Hayatul (RM3,000), Surau Darul Hasanah, Taman Harmoni (RM4,900), Masjid Nahdatul Islam (RM1,500), Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) (RM1,000) dan Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman (RM3,600).
Penganjuran Program Iftar Kasih Ramadan ini diharap dapat memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya zakat dalam membantu golongan yang memerlukan.
Program ini dianjurkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah, Sri Aman bagi menyambut kedatangan Ramadan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Sektor Pentadbiran dan Kewangan Iskandar Allen, Pengurus Bela Sempurna Sdn Bhd Nazri Madon, Pengurus Yayasan Kepimpinan Al-Bait Abdul Hafiz Zainal Abidin, serta Pengurus Kompleks Islam Sri Aman Shamsul Bahri Manap. – UKAS