SIMANGGANG: Tindakan pantas penduduk kampung berjaya menyelamatkan sebuah rumah struktur kekal daripada musnah dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Tengah, dekat sini, petang ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 1.31 petang.
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman yang dipimpin Komander Operasi, PBK I Edwin Jonani, bersama tiga buah jentera (masing-masing sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), pacuan empat roda jenis Hilux, dan Van Urvan telah dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tujuh kilometer.

PGO JBPM Sarawak menyatakan, sebaik sahaja pasukan bomba tiba di lokasi pada 1.38 petang, didapati kebakaran berkenaan telah pun berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh penduduk kampung.
”Kebakaran tersebut hanya melibatkan bahagian siling dapur rumah berkenaan dengan anggaran kemusnahan kira-kira lima peratus daripada keseluruhan struktur bangunan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan rapi serta tindakan susulan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada lagi sumber nyalaan atau bahaya susulan yang boleh mencetuskan semula kebakaran.
Operasi dikawal sepenuhnya pada 1.45 petang sebelum ditamatkan secara rasmi lima minit kemudian.
Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Turut berada di lokasi kejadian bagi membantu kawalan keselamatan ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Oleh Adi Safarman





