

SIBU: Tindakan pantas orang awam menggunakan alat pemadam api berjaya menghalang kebakaran di sebuah premis perniagaan di Lorong Wong Soon Kai 20D di sini daripada merebak, hari ini.
Ketua Zon Bomba Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.12 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada 12.20 tengah hari dan mendapati asap masih keluar dari premis yang terletak di tingkat bawah sebuah bangunan kedai.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah premis berstruktur kekal berukuran kira-kira 18 kaki x 30 kaki dengan kemusnahan dianggarkan sekitar lima peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, api berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan satu unit alat pemadam api jenis debu kering sebelum ketibaan pasukan bomba.
Beliau berkata, tindakan pantas itu berjaya mengawal kebakaran pada peringkat awal sekali gus mengurangkan risiko kerosakan yang lebih besar.
Katanya, pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pemantauan dan pengudaraan bagi mengeluarkan asap yang masih terperangkap di dalam bangunan berkenaan.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Tarani Lanting