LAWAS: Tindakan pantas orang awam memadam kebakaran berjaya mengelak api daripada merebak dalam kebakaran rumah di Jalan Terusan, Kampung Bukit Batu, Lawas pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata kebakaran yang berlaku jam 9.33 pagi itu berjaya dipadamkan orang awam yang berada di kawasan tersebut.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebahagian kecil kawasan dapur rumah pengadu yang sudah dipadamkan oleh orang awam.
“Anggaran keseluruhan kebakaran hanya 10 peratus,”katanya.
Pasukan bomba hanya bertindak memastikan tiada sebarang punca api atau bara yang boleh menyebabkan kebakaran berulang di seluruh kawasan terbabit.