Tindakan pantas bomba padam kebakaran belukar di Jalan Kejatau

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA BBP Sri Aman menjalankan operasi memadamkan sepenuhnya kebakaran belukar yang berlaku di tepi Jalan Kejatau, semalam. Foto BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman berjaya mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran belukar yang berlaku di tepi Jalan Kejatau, semalam.

Menurut kenyataan media BBP Sri Aman, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut daripada seorang pelapor, Gabriel, pada 9.28 pagi.

Sejurus selepas menerima laporan, sepasukan anggota diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (TBK I) Noor Faqriakmal, telah dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai.

Operasi pemadaman tersebut membabitkan kekuatan logistik berupa satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

TINDAKAN pantas anggota BBP Sri Aman berjaya mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran belukar yang berlaku di tepi Jalan Kejatau, semalam. Foto BBP Sri Aman

Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, disahkan bahawa sememangnya berlaku kebakaran belukar di tepi jalan berkenaan.

Anggota bomba yang dilengkapi pakaian perlindungan diri (PPE) segera menjalankan tindakan  operasi pemadaman dengan membentang satu aliran hos sepanjang 200 kaki serta menggunakan dua nozel pam GP 10/10.

Sumber air diperoleh daripada parit berhampiran bagi melancarkan operasi pemadaman.

Pasukan bomba menggunakan kaedah pemadaman total flooding dan direct attack bagi memastikan sisa api dipadam sepenuhnya sekali gus mengelakkan kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.

Operasi berjaya diselesaikan tanpa sebarang penglibatan agensi lain atau kecederaan dilaporkan.

Oleh Adi Safarman