Siapa yang tidak terliur melihat buah Tin segar yang masak ranum. Warnanya yang merah pekat atau ungu kehitaman sudah cukup menggamit selera untuk menikmatinya.
Tin atau nama saintifiknya Ficus Carica sebenarnya mempunyai pelbagai variasi, jadi warna buahnya juga berbeza. Ketika masih muda, warnanya hijau muda tetapi apabila matang, warnanya bergantung kepada spesies – ada yang kuning, biru, hitam, ungu, merah dan sebagainya.
Kini ia menjadi antara tanaman paling disukai, baik petani komersial mahupun sebagai tanaman di halaman rumah.
Juga dikenali dengan nama buah Ara atau Fig, bila dibelah nampaklah bahagian isinya yang lembut berair, dipenuhi biji-biji kecil di tengah.
“Rasa buah tin segar seperti buah prun tapi lebih manis dan kenyal. Buah ini banyak serat dengan biji-biji yang memberi rasa kenyal dan rangup apabila dikunyah,” kata Meriam Sabie, salah seorang pengusaha tanaman Tin di Kota Samarahan.
Bagi Meriam, beliau dan suami mula menanam pokok tin ini sejak tahun 2017 selepas melihat kejayaan para petani lain dengan tanaman ini.
Selain minat mendalam, pasangan ini ingin mencuba tanaman baharu kerana selama ini mereka mengusahakan tanaman cili secara fertigasi serta sayur-sayuran.
“Kami lihat ramai petani terlibat di dalam penanaman pokok Tin ini. Walaupun baharu bermula, kami menyimpan impian besar untuk mengkomersialkan tanaman ini kerana mendapati permintaan terhadap buahnya memang menggalakkan,” katanya.
Pada mulanya pasangan ini membeli 20 anak benih Tin dan kemudian belajar cara menghasilkan anak benih sendiri daripada pokok yang mereka tanam.
“Sekarang sudah ada 25 pokok yang berbuah dan kami berhasrat menambahnya lagi dengan anak benih yang kami hasilkan sendiri,” kata Meriam.
Menurutnya, pokok Tin ini berasal dari kawasan panas, tandus dan kering, maka ia mudah ditanam dan bercambah dengan situasi cuaca di negara ini.
Sekiranya ditanam dari tunas pokok, dalam tempoh lapan hingga 12 bulan ia sudah mula mengeluarkan hasil.
“Tempoh buah masak selepas berputik pula dalam masa tiga bulan,” katanya.
Untuk rancangan masa hadapan, Meriam berkata dia dan suami berhasrat membesarkan lagi kawasan dan menambah jumlah tanaman mereka. Bagaimanapun katanya, beliau dan suami berharap mendapat bantuan daripada mana-mana agensi swasta atau kerajaan bagi merealisasikan hasrat ini.