Tiga projek RTP 2026 tingkat akses jalan penduduk Meradong

Facebook
WhatsApp
WONG Soon Mee selaku wakil Dato' Sri Huang Tiong Sii menyaksikan penyerahan dokumen siap kerja, baru-baru ini. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

BINTANGOR: Tiga projek menaik taraf jalan batu dan tanah kepada jalan konkrit di bawah projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 siap dilaksanakan di Meradong, sekali gus menyediakan akses lebih selesa dan selamat kepada penduduk setempat.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur, khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, penambahbaikan keadaan jalan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat kerana kemudahan itu digunakan dalam urusan dan pergerakan harian penduduk.

“Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada keperluan rakyat dan berusaha memastikan kemudahan asas di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan secara berperingkat.

“Setiap projek yang dilaksanakan adalah berdasarkan keperluan setempat supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok ketika dihubungi.

Tambahnya, tiga projek yang siap dilaksanakan tersebut melibatkan kerja menaik taraf jalan di Tanah Perkuburan Lotong Meradong, Jalan Lai Hing dan Jalan Sandai Lucy di kawasan Jalan Ulu Strass.

Katanya lagi, penyediaan infrastruktur jalan yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah memberi keselesaan dan meningkatkan aspek keselamatan kepada pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Lawatan pengesahan siap kerja bagi ketiga-tiga projek berkenaan turut diadakan bagi meninjau hasil pelaksanaan serta memastikan kemudahan yang dibangunkan dapat digunakan dengan baik oleh masyarakat.

Beliau diwakili Wong Soon Mee pada lawatan tersebut, manakala Penolong Jurutera Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Churchill Barrak turut hadir bagi melakukan tinjauan terhadap projek yang telah disiapkan.

Pelaksanaan projek RTP itu merupakan antara pendekatan pembangunan secara berperingkat dalam menangani keperluan infrastruktur di peringkat setempat, terutama kemudahan yang memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan harian masyarakat luar bandar.

Oleh Earl Anek