KUCHING: Tiga peniaga di Batu Kawa, masing-masing dikompaun RM100.00 kerana menggunakan alat timbang yang tamat tempoh sah hasil aduan orang awam.
Jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri berkata, dalam pemeriksaan oleh penguat kuasa KPDNHEP Sarawak berkenaan tiga peniaga pasar basah masih menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh sah.
“Penggunaan penimbang yang tamat tempoh menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.
“Sepanjang tahun ini, KPDNHEP seluruh Sarawak telah mengambil 205 kes di bawah ATS 1972 dengan nilai kompaun sebanyak RM28,700 manakala nilai rampasan berjumlah RM51,106,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau menambah sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian WhatsApp 019-2794317 atau hadir sendiri di pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Bilik Gerakan KPDNHEP Sarawak dibuka dari 8.00 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan boleh dihubungi di talian 082-466052.
“KPDNHEP Sarawak juga menggesa kepada peniaga supaya memastikan alat timbang dan alat sukatan ditentusahkan untuk tujuan perniagaan,” ujarnya.
Oleh Alexandra Lorna