Tiga pasukan kanak-kanak tampil sebagai pewaris Tandak Nopeng

Facebook
WhatsApp
PESERTA cilik Kategori Kanak-Kanak mempersembahkan Tandak Nopeng pada Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026 di Kuching, semalam.

KUCHING: Tiga pasukan kanak-kanak tampil sebagai generasi baharu pewaris seni Tandak Nopeng Melayu Sarawak susulan pengenalan Kategori Kanak-Kanak buat julung kalinya pada Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026, semalam.

Pengenalan kategori itu menyaksikan penyertaan 12 pasukan secara keseluruhan, terdiri daripada sembilan pasukan belia dan tiga pasukan kanak-kanak.

Pihak Kenyalang Prodigy berkata, penglibatan kanak-kanak sejak di bangku sekolah rendah penting bagi memastikan seni warisan berkenaan terus diwarisi oleh generasi akan datang.

PASUKAN Pewaris muncul juara Kategori Kanak-Kanak pada Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026 di Kuching, semalam.

Menurutnya, Kenyalang Prodigy mahu projek berkenaan menjadi platform pendidikan seni merentas kepulauan Borneo.

“Anak-anak kita bukan sekadar menjadi penonton, malah perlu menjadi penghayat seni,” katanya.

Penganjuran turut diserikan dengan Pameran Seni dan Jualan Karya ‘Mensia Lana’ oleh Dr Ashari Hamdan yang mengetengahkan lukisan berkaitan Tandak Nopeng serta adat perkahwinan tradisional masyarakat Melayu Sarawak.

Dalam pertandingan itu, Alun Warisan Tradisi muncul juara Kategori Belia, diikuti Anak Seni Kenyalang dan Bujang Sarawak masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

PARA peserta dan tetamu kehormat merakam kenangan selepas Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026 di Kuching, semalam.

Pewaris pula dinobatkan sebagai juara Kategori Kanak-Kanak, manakala Warisan Madah Tradisi dan Warisan Sri Tanjung masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Telaga Air Sepupu turut memenangi anugerah Busana Terbaik Keseluruhan.

Turut hadir ialah Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Dr Abdullah Zulkifli, Timbalan Konsul Jeneral Brunei Darussalam di Kuching Muhammad Nur’izzuddin Osman, Presiden Kenyalang Prodigy Muhammad Nur Fawwiz Bolkiah dan Ketua Seksyen OKSHE Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dayang Morzanah Awang Haddy.