Tiga laluan masuk Kampung Pagan dinaik taraf, manfaatkan penduduk setempat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SARATOK: Tiga laluan masuk di Kampung Pagan, Saratok berjaya dinaik taraf menerusi Projek Mesra Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan pergerakan penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong selaku agensi pelaksana.

Beliau berkata, tiga laluan masuk berbentuk jambatan atau crossover dikenal pasti untuk dinaik taraf berdasarkan keperluan penduduk di kawasan terbabit.

PENYERAHAN PROJEK SIAP… Kaunselor Kasdi Pandi mewakili ADUN Kalaka menghadiri program penyerahan tapak projek siap pembinaan baharu tiga laluan masuk di Kampung Pagan. Foto ADUN Kalaka

Menurutnya, ketiga-tiga lokasi yang dicadangkan oleh Ketua Kaum Sejali kini telah siap dinaik taraf dan memberi manfaat kepada penduduk yang menggunakan laluan berkenaan bagi urusan harian.

“Pelaksanaan projek ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur asas yang lebih selamat, berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi mewakili ADUN Kalaka menghadiri program penyerahan tapak projek siap pembinaan baharu tiga laluan masuk di Kampung Pagan, hari ini.

PENYERAHAN PROJEK SIAP… Kaunselor Kasdi Pandi mewakili ADUN Kalaka menghadiri program penyerahan tapak projek siap pembinaan baharu tiga laluan masuk di Kampung Pagan. Foto ADUN Kalaka

Mohamad Duri berkata, pihaknya masih menerima banyak permohonan daripada ketua kaum melibatkan kerja menaik taraf jalan, crossover, jeti belian serta pembinaan lorong konkrit di seluruh kawasan DUN Kalaka.

Beliau menjelaskan, semua permohonan berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahap keutamaan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Ekonomi serta Projek Mesra Rakyat.

Katanya, pelaksanaan projek berkenaan menunjukkan perancangan pembangunan yang dibuat berjaya direalisasikan sekali gus membolehkan penduduk menikmati kemudahan yang lebih baik.

“Saya berharap pelaksanaan projek infrastruktur seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh pembangunan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan DUN Kalaka,” jelasnya.

Oleh Adi Safarman