

SERIAN: Seramai 96 Ketua Isi Rumah (KIR) dari tiga kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja iaitu Kampung Hulu, Kampung Hilir dan Kampung Bunga Siantan menerima sumbangan bantuan pasca banjir dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung hari ini.
Simbolik penyerahan bantuan berupa tilam dan bantal disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus yang turun padang menyantuni mangsa banjir di kampung-kampung terlibat.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden ‘Rotary Club of Kuching’ Roland Phang, yang telah menyumbangkan sebanyak 512 tilam dan 1,032 bantal kepada beberapa kampung yang terjejas akibat banjir di kawasan Bukit Semuja.

“Saya berharap ketua kampung dapat memastikan sumbangan ini disalurkan kepada mangsa yang benar-benar terkesan dan layak.
“Pelbagai kriteria telah ditetapkan dan kita ingin pastikan bantuan ini dapat membantu meringankan beban mereka yang rumahnya ditenggelami air serta mengalami kerosakan harta benda,” katanya.
Ketua Kaum Kampung Hulu Serian, Morshidi Loncheng turut menzahirkan penghargaan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk, termasuk bakul makanan serta barangan keperluan seperti tilam dan bantal.
Turut hadir, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Semuja, Albert Andrew serta Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Serian, Jeff Currant. -UKAS