Tiga jalan ladang dinaik taraf, mudahkan akses petani di Debak

Facebook
WhatsApp
AKSES LEBIH BAIK… Keadaan salah satu jalan ladang yang siap dinaik taraf di kawasan Debak bagi memudahkan penduduk menjalankan aktiviti pertanian. Foto JKR Sarawak

DEBAK: Tiga projek naik taraf jalan ladang di Inar, Nanga Pek dan Ulu Bayor di sini berjaya disiapkan mengikut jadual, sekali gus memudahkan akses penduduk ke kawasan pertanian.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, ketiga-tiga projek berkenaan dilaksanakan di bawah Program Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Bukit Saban.

PENYERAHAN… Penyerahan dokumen selepas kerja menaik taraf salah satu jalan ladang di kawasan Debak siap dilaksanakan baru-baru ini. Foto JKR Sarawak

Kerja menaik taraf bermula pada 25 Februari lalu dan siap sepenuhnya pada 24 Ogos, dengan tempoh pelaksanaan selama enam bulan.

Projek berkenaan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan jalan masuk yang lebih baik, selesa dan selamat bagi memudahkan penduduk menjalankan aktiviti pertanian serta mengurus kebun dan ladang masing-masing.

Dengan siapnya ketiga-tiga jalan itu, urusan membawa keluar hasil pertanian dari kawasan ladang ke pusat pengumpulan dan pasaran juga dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

PENYERAHAN… Penyerahan dokumen berkaitan selepas kerja naik taraf salah satu jalan ladang di kawasan Debak selesai dilaksanakan. Foto JKR Sarawak
 

Kemudahan tersebut pada masa sama dijangka menyokong perkembangan ekonomi setempat, mengurangkan kekangan pergerakan serta membantu komuniti luar bandar mengembangkan kegiatan pertanian dengan lebih produktif.

Pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak melalui BDDA dengan sokongan teknikal JKR Sarawak untuk memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar serta  meningkatkan kesalinghubungan dan kesejahteraan penduduk di Debak.